MONYET
YANG PINTAR
Binatang-binatang
kecil di hutan tidak senang hati dengan kedatangan singa di tempat mereka.
singa itu mengaku dirinya raja walaupun sebenarnya dia bukan raja di hutan itu.
Singa itu sangat ganas. Binatang-binatang yang lemah sering menjadi mangsanya.
Oleh itu, binatang-binatang di hutan tersebut mencari jalan untuk menghapuskan
singa itu.
"Biar saya yang pergi berjumpa
dengan singa itu. Saya akan merayu kepadanya agar tidak menangkap haiwan di
hutan ini lagi," kata kambing tua kepada kawan-kawannya. Dia sanggup
berkorban nyawa demi keselamatan rakan-rakannya.
Semasa pertemuan dengan kambing, singa
itu berkata dengan angkuh.
"Kalau kamu tidak mahu aku
menangkap binatang di hutan ini lagi, kamu hendaklah mempersembahkan makanan
kepada aku setiap hari." Terdiam semua binatang apabila kehendak singa itu
disampaikan oleh kambing tua kepada mereka.
Naik darah kijang mendengar kata-kata
singa itu. Dia berfikir sejenak lalu berkata dengan marah.
"Jangan beri muka kepada singa
yang kejam itu. Ada hati dia mahu makan kita. Kita mesti membunuhnya sebelum
kitamenjadi mangsa seterusnya."
"Tapi bagaimana, kijang?"
sampuk arnab yang hanya berdiam diri sejak tadi.
"Kita masih ada jalan. Biar saya
yang menjadi mangsanya yang pertama," kata monyet dengan berapi-api.
Esoknya, monyet pergi menyerah diri
kepada singa itu.
"Mengapa lambat, ha? Engkau tahu
tak, aku lapar?" herdik singa.
"Ma...
ma ... maafkan patik tuanku, semasa dalam perjalanan ke sini, patik telah
ditangkap oleh seekor singa yang mengaku dirinya raja," sembah monyet
pura-pura ketakutan.
"Apa? Raja? Hanya aku raja di hutan
ini! Tunjukkan kepadaku tempat si bedebah itu. Biar aku tamatkan
riwayatnya!" kata singa dengan bengis. Panas hati singa mendengar
penjelasan monyet.
Monyet pun membawa singa ke sebuah
perigi. Apabila tiba di tepi perigi tersebut, monyet pun berkata, "Itu dia
singa yang mengaku dirinya raja, tuanku," Monyet menunjukkan bayang-bayang
singa di dalam perigi itu. Tanpa membuang masa, singa pun terjun ke dalam
perigi tersebut untuk membunuh Sang Singa yang dilihatnya itu. Monyet riang
kerana rancangannya berjaya.
Semenjak hari itu, binatang-binatang di
hutan tersebut hidup dengan aman dan bahagia.